Mohd Syauqi Md Zahir
Pensyarah Jabatan IRKHS, Pusat Asasi UIAM
Pensyarah Jabatan IRKHS, Pusat Asasi UIAM
Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. (Al-Hujurat :6)
Ayat Al-Quran di atas pada hakikatnya menggambarkan kepada kita ketegasan Al-Quran dalam memastikan keharmonian dan kestabilan kehidupan individu serta masyarakat terpelihara. Allah SWT mengarahkan orang-orang yang beriman denganNya dan RasulNya agar sentiasa memastikan kesahihan dan ketepatan setiap berita yang diterima atau yang ingin disampaikan. Arahan ini berasaskan kekhuatiran berlakunya perkara-perkara yang tidak dingini berlaku dalam masyarakat seperti permusuhan, kebencian, pembunuhan, fitnah menfitnah dan segala macam penyakit masyarakat disebabkan kepercayaan yang membuta tuli dengan setiap berita yang diterima. Namun Al-Quran menegaskan bahawa proses menyelidik kesahihan berita itu perlu sekiranya datang dari seorang yang fasiq.
Justeru, Al-Quran secara langsung telah menggariskan akhlaq yang perlu diimani dan dipraktik oleh semua pihak yang mengaku dirinya beriman dengan Allah dan RasulNya serta beriman akan kewujudan pembalasan yang Maha Adil di akhirat nanti dalam perkara yang berkaitan dengan penyebaran dan perkongsian maklumat, berita dan dan informasi .
1) Akhlaq pelapor berita:
Menurut ayat ini, Allah SWT menegaskan bahawa tidak wajar seseorang itu bersifat dengan sifat fasiq. Para ulama mendefinasikan fasiq sebagai seorang pembohong, seorang yang melazimkan dirinya dalam perkara-perkara maksiat dan seorang yang melanggar ketentuan syara’. Ini kerana berita, maklumat atau informasi adalah amanah. Maka fasiq boleh dikategorikan sebagai orang yang telah melanggar amanah Allah SWT dalam banyak hal yang berkaitan dengan syarak. Kebarangkalian berlakunya pembohongan atau fitnah dalam penyebaran berita oleh orang fasiq adalah amat tinggi. Oleh itu adalah amat mustahak sekali seseorang itu bersifat dengan sifat adil, jujur dan amanah dalam menyampaikan sesuatu berita.
Secara praktikalnya dalam sejarah islam, para ahli hadith amat teliti dan prihatin dengan masalah sanad (perawi hadith). Di letakkan syarat-syarat yang khusus untuk melayakkan seseorang itu meriwayatkan hadith dari Rasulullah SAW. Sesuai dengan firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain...” (Al-Hujurat: 2). Imam Ibn Jawzi dalam mentafsirkan ayat ini menyebut bahawa antara adab seseorang muslim dengan Rasulullah SAW adalah mereka dikehendaki beradab ketika menaqalkan hadith-hadith Rasulullah SAW tanpa melakukan pembohongan terhadap hadith Rasulullah SAW. Antara syarat penting kelayakan perawi hadith yang diletakkan para ahli hadith ialah sifat Al-‘Adl iaitu seorang perawi hadith perlu menjauhi segala macam perlakuan dosa-dosa besar seperti syirik kepada Allah, berzina, membunuh dan sebagainya serta mereka tidak berterusan dalam perlakuan dosa-dosa kecil yang boleh menjatuhkan kredibiliti perawi tersebut. Jika seorang pelapor berita mampu mengaplikasikan Kriteria-kriteria yang ditetapkan dalam hal berkaitan meriwayatkan hadith, maka sudah pasti kesahihan berita itu dapat diterima oleh orang lain dengan tanpa ada rasa ragu-ragu lagi.
Selain itu, perbuatan seperti suka melaporkan perkara-perkara yang mengaibkan orang atau membuat andaian yang bukan-bukan sehingga memudaratkan orang ramai juga perlu dielak. Firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Al-Hujurat:12)
Kurangnya pemahaman seseorang terhadap kriteria yang dikehendaki oleh Islam terhadap pelapor berita menyebabkan orang merasakan mereka bebas untuk menyebarkan berita tanpa ada rasa bertanggungjawab di atas berita yang disebarkan. Mereka gagal memahami kesan dari penyebaran berita tersebut terhadap masyarakat. Inilah sifat-sifat orang fasiq yang hanya mementingkan peribadi dari kepentingan masyarakat.
2) Akhlaq penerima berita:
Imam Fakhrurrazi berpendapat bahawa proses mencari kebenaran dalam setiap berita yang disampaikan oleh seorang fasiq adalah satu proses yang wajib melihatkan kepada kesan yang bakal berlaku hasil dari kepercayaan membuta tuli terhadap berita tersebut. Ayat tersebut menyebut “sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. Oleh itu sebelum seseorang menyesali tindakan yang diambil berdasarkan berita dari mereka yang fasiq itu, wajib ke atasnya untuk bukan sahaja mempastikan kebenaran berita tersebut, bahkan melihat juga kepada latarbelakang individu yang menyebarkan berita tersebut.
Selain itu, Allah SWT turut mensyaratkan dalam ayat ini bahawa sebagai orang yang beriman, sifat skeptikal dan berhati-hati dalam menerima sesuatu berita adalah penting sebagai manifestasi keimannya kepada Allah SWT. Sebagai contoh, dalam era teknologi maklumat masa kini proses penyebaran maklumat belaku dengan pantas sekali. Melalui email, sms, blogspot dan sebagainya, orang dapat mengakses pelbagai maklumat tanpa sempadan. Apabila sesorang menerima maklumat dari sumber tertentu, dengan pantas mereka akan menyebarkan pula maklumat tersebut ke pihak yang lain tanpa memastikan dari mana sumber maklumat itu diperolehi dan adakah maklumat itu benar. Sebab itulah berlakunya salah faham dan fitnah menfitnah dalam masyarakat. Bahkan adalah amat ditakuti apabila maklumat yang ditelan bulat-bulat tanpa tapisan itu melibatkan runtuhnya aqidah agama seseorang muslim.
Prof Hamka dalam mentafsirkan ayat 6 surah Al-Hujurat menyebut bahawa orang beriman adalah orang yang bijaksana (Rajulun Rashid) yang sentiasa berfikir sebelum bertindak atau berbuat sesuatu. Kebijaksanaan ini sebenarnya bersandarkan kepada kemampuan orang beriman untuk senantiasa bersifat sabar dalam menerima segala berita. Sabar di sini bermaksud tenang dalam menerima segala berita serta tidak tergopoh gapah dalam mempercayai sesuatu berita. Sabda Rasulullah SAW: “Bertenang (dalam menyiasat kesahihan) dalam menerima berita adalah dari Allah SWT manakala tergopoh gapah itu dari Syaitan.” (Riwayat Al-Tirmizi)
3) Nilai berita:
Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut Al-Naba’ (berita, maklumat) merupakan amanah yang perlu dipelihara kesahihannya. Sebagai suatu amanah, sesorang pelapor berita juga perlu jujur dalam beritanya. Kadang-kadang disebabkan oleh kecenderungan seseorang pelapor berita terhadap aliran pemikiran tertentu atau kumpulan tertentuan menyebabkan nilai berita itu dipesongkan serta diputar belitkan kesahihannya.
Perkara ini telah wujud sejak zaman awal Islam lagi. Dalam ilmu hadith terdapat satu jenis hadith yang dipanggil Hadith Mawdhu’ (Hadith Palsu). Hadith palsu ini merupakan satu bentuk pendustaan yang amat besar terhadap Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang berdusta ke atas aku maka dia talah menempah tempatnya di dalam neraka” (Riwayat Muslim). Disebut dalam banyak kitab mengenai perkembangan ilmu hadith bahawa wujudnya hadith palsu ini disebabkan kecenderungan kumpulan-kumpulan tertentu dikalangan muslim untuk mempromosikan kumpulan masing-masing sehingga sanggup mencipta hadith-hadith yang tiada sandarannya kepada Rasulullah SAW.
Oleh itu, nilai berita itu perlu dipelihara keaslian dan kesahihannya tanpa perlu ditokok tambah dengan fakta-fakta rekaaan hanya bertujuan untuk menyedapkan jalan cerita tersebut. Jika dalam ilmu hadith adanya isu hadith palsu, begitu juga terdapat isu yang sama dalam ilmu al-Quran yang dinamakan Israiliyyat. Israiliyyat adalah kisah-kisah yang ditokok tambah dalam memberi penjelasan terperinci mengenai perkara-perkara yang tidak diperincikan oleh al-Quran. Ia muncul selepas ramai ahli kitab dari kalangan yahudi dan nasrani yang mengetahui isi taurat dan injil memeluk Islam dan membawa bersama mereka kisah-kisah yang disebut dalam kitab-kitab mereka dalam proses pentafsiran Al-Quran. Majoriti ahli tafsir Al-Quran menolak penggunaan kisah israiliyyat dalam kitab tafsir mereka. Ini kerana kebanyakan kisah-kisah israiliyat adalah rekaan semata yang semestinya tidak layak digunakan dalam memahami Al-Quran yang bersifat benar dari segi maklumat dan hidayahnya.
Mengaplikasikan kaedah yang dipakai dalam ilmu hadith dan ilmu al-quran tersebut sebenarnya akan banyak membantu para pelapor berita dalam memastikan nilai berita yang dibawa terpelihara dari sebarang bentuk penyelewengan fakta dan maklumat.
Justeru sudah tiba masanya sebagai seorang muslim untuk menggunakan akhlaq islam di era teknologi maklumat ini dalam proses penyebaran maklumat dan berita. Konsep maklumat tanpa sempadan yang dipromosi Barat perlu di ‘sempadan’kan dalam kerangka Islam agar tercapai lima prinsip Maqasid syariah iaitu terpeliharanya agama, nyawa, minda,maruah dan harta semua ahli masyarakat sesebuah negara.
No comments:
Post a Comment